Pelaburan Patuh Syariah: Panduan Pelabur

Pelaburan Patuh Syariah

Hampir setiap hari, kita mendengar keluhan rakan-rakan tentang kos sara hidup yang semakin meningkat. Bukan itu sahaja, pendapatan mereka pula tidak bertambah setaraf dengan kos tersebut. Persoalannya, bagaimana untuk menjana pendapatan tambahan? Jawapannya – pelaburan patuh syariah. Anda berminat untuk mengetahui kaedah pelaburan patuh syariah ini? Jom dalami perihal ini di dalam artikel kami.

Apa Itu Pelaburan Patuh Syariah?

Salah satu pilihan yang paling biasa dilihat oleh pelabur sekarang adalah pelaburan patuh Syariah. Ini bukan hanya untuk orang Islam, tetapi juga pelabur lain yang mencari pelaburan yang lebih bertanggungjawab dalam portfolio.

Sebenarnya, pelaburan halal adalah satu kaedah pelaburan yang lebih kurang sama dengan pelaburan konvensional. Bezanya cuma, terdapat beberapa faktor yang perlu dititikberatkan untuk memastikan sesuatu jenis pelaburan itu patuh syariah.

Pelaburan sebegini semakin mendapat tempat bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia kerana prinsipnya yang dianggap “socially responsible”. Samalah juga seperti produk perbankan patuh syariah yang semakin popular di kalangan pengguna bukan Muslim juga. Dek kerana permintaan yang kian meningkat, peluang pelaburan sebegini juga telah semakin bertumbuh. Ia membolehkan seseorang mencari peluang bukan sahaja di dalam pasaran tempatan, malahan di luar juga.

Apa Yang Dititikberatkan?

Objektif utama pelaburan yang menepati hukum syarak adalah untuk menyediakan jalan bagi pelabur yang peka terhadap keperluan Syariah mengenai pelaburan mereka. Pelaburan patuh Syariah harus bebas dari aktiviti yang dilarang oleh Islam seperti:

  • riba;
  • perjudian (maisir); dan
  • kesamaran (gharar).

Dalam konteks pelaburan saham patuh syariah pula, sesebuah syarikat yang tersenarai di pasaran saham akan dikira sebagai tidak patuh syariah jika terlibat dalam dalam aktiviti tidak patuh Syariah seperti produk atau perkhidmatan yang berkaitan dengan perbankan konvensional, insurans konvensional, perjudian, minuman beralkohol dan produk makanan tidak halal.

Pelaburan Patuh Syariah

Untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci, anda bolehlah mendapatkan maklumat daripada badan-badan yang berkenaan. Sebagai contoh, di Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti ada menubuhkan Lembaga Penasihat Syariah yang meletakkan garis panduan untuk menentukan kriteria bagi mengenalpasti sesebuah syarikat yang patuh syariah.

Selain itu, anda juga boleh melayari laman web seperti https://labursahamsyariah.com/ yang sedikit sebanyak berkongsikan ilmu tentang pelaburan halal ini.

Antara Kesucian dan Keuntungan

Prinsip pelaburan Syariah tidak menghalang pelabur beroperasi dengan menguntungkan. Matlamat akhir pelaburan yang mengikuti garis panduan Syariah adalah sama seperti pelaburan lain, iaitu mencari keuntungan modal bagi para pelaburnya.

Namun begitu, sudah pasti kesucian harta yang diperolehi itu jauh lebih penting buat seseorang Muslim sejati. Meskipun begitu, sudah pasti kejayaan di dunia dan di akhirat adalah matlamat sebenar.

Diharapkan semoga anda mendapat manfaat daripada maklumat yang dikongsikan, dan semoga anda berjaya sebagai seorang pelabur.

Sekian, terima kasih.